Pendekatan antarabangsa Hak_untuk_persekitaran_yang_sihat

Asalnya, dokumen-dokumen hak asasi PBB yang utama seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya tidak mengiktiraf hak untuk persekitaran yang sihat.[3] Deklarasi Stockholm 1972 mengiktiraf hak tersebut, namun dokumen tersebut tidak mempunyai ikatan dari segi undang-undang. Perisytiharan Rio 1992 tidak menggunakan istilah "hak", namun dokumen tersebut telah menyatakan bahawa setiap individu haruslah mempunyai akses kepada maklumat mengenai hal alam sekitar, terlibat dalam proses membuat keputusan dan mempunyai akses kepada keadilan.[10] Ketetapan PBB yang kini diusulkan, Pakatan Persekitaran Global, sekiranya diluluskan, akan menjadi dokumen hak asasi manusia PBB pertama yang merangkumi hak untuk persekitaran yang sihat.[11]

Lebih daripada 150 buah negara dalam PBB telah mengiktirafkan hak tersebut dalam bentuk-bentuk yang berbeza seperti melalui perundangan, litigasi, perundangan perlembangaan, perundangan persetujuan atau kaedah perundangan yang lain.[5] Piagam Afrika mengenai Hak Asasi Manusia dan Masyarakat, Konvensyen Amerika mengenai Hak Asasi Manusia, Perjanjian Escazu, Piagam Arab mengenai Hak Asasi Manusia, dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN masing-masing merangkumi hak untuk persekitaran yang sihat.[3][12][13] Kerangka kerja hak asasi manusia yang lain, seperti Konvensyen Hak Kanak-Kanak juga melibatkan isu alam sekitar kerana isu tersebut berkaitan dengan fokusnya, dalam kes ini ialah hak kanak-kanak.[12]

Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia dan Persekitaran John H. Knox (2012–2018) dan David R. Boyd (2018–2021) telah memberikan cadangan mereka mengenai cara memasukkan hak ini dalam perundangan antarabangsa.[14] Cadangan tersebut telah disokong oleh beberapa jawatankuasa PBB serta komuniti perundangan lokal.

Hak untuk persekitaran yang sihat merupakan teras bagi pendekatan antarabangsa terhadap isu hak asasi manusia dan perubahan iklim.[15][16] Impak perubahan iklim terhadap hak asasi manusia telah dibentangkan oleh OHCHR dalam sebuah helaian fakta bersama dengan soalan lazim mengenai topik tersebut.[17]

Ketetapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB

Pada 2021 semasa sesi ke-48nya, Majlis Hak Asasi Manusia PBB meluluskan sebuah ketetapan yang dibentangkan oleh sebuah kumpulan teras yang terdiri daripada Costa Rica, Maghribi, Slovenia, Switzerland dan Maldives. Ketetapan tersebut mengiktiraf "hak asasi manusia untuk persekitaran yang bersih, sihat dan lestari". Hal ini merupakan kali pertama badan tersebut mengisytiharkan sebuah hak asasi manusia.[4][18][19] Walaupun ketetapan tersebut tidak mempunyai ikatan dari segi undang-undang, ketetapan tersebut akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk pertimbangan lanjut.[18]